Kes 21 lembu & skandal RM12.45 bilion
DALAM dunia orang kaya, duit boleh bertukar tangan – termasuk di tangan orang politik – dalam berbagai-bagai nama dan istilah.
Ada yang menyebutnya ‘sumbangan ikhlas’, ‘ihsan’, atau ‘derma’ kepada parti. Itu bahasa halus, atau madah beralas. Bahasa kasarnya ialah ‘duit kopi’, atau ‘duit bawah meja’. Dalam bahasa mat rempit disebut ‘duit tomyam’ atau ‘pau’.
Sama ada bahasa halus, bahasa kasar atau bahasa rempit, semua itu boleh disebut, dan difahami, dengan hanya satu perkataan: ‘rasuah’.Namakan apa sahaja istilah yang lunak-lunak, ia tetap rasuah.
Dalam politik kita, derma kepada parti ini bukan cerita baru. Semua orang tentu masih ingat sebuah bank antarabangsa telah menderma RM100,000 (ketika itu RM100,000 dikira amat tinggi) kepada UMNO. Akibatnya seorang Menteri Besar yang juga pemimpin UMNO terkenal didapati bersalah dan dihukum penjara.
Apabila Kuala Dimensi Sdn Bhd (seperti yang didakwa CEOnya, Datuk Seri Tiong King Sing) memberi RM10 juta kepada Datuk Seri Ong Tee Keat, tentu pemberian itu mulanya disebut derma ikhlas kepada MCA.
Hanya sekarang ‘derma ikhlas’ kepada parti itu dibangkitkan semula untuk memberi gambaran bahawa wang berjuta-juta itu diberi tidak dengan keikhlasan. Ini terjadi setelah isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) diletupkan sebagai satu kontroversi.
Ong, Menteri Pengangkutan yang juga Presiden MCA, menafikan dakwaan menerima pemberian tersebut, dan telah mengemukakan saman RM500 juta terhadap Tiong. Menurut Ong jika dia menang, wang itu akan didermakan untuk kebajikan.
Khamis lalu Ong telah dipanggil ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi keterangan berhubung tuduhan menerima RM10 juta itu, juga berhubung isu PKFZ.
Tidak dapat diramalkan ke mana penghujungnya hasil siasatan tersebut. Mungkin Ong akan didakwa, mungkin juga tidak. Tetapi, katakan menteri itu dihadapkan ke mahkamah dan akhirnya didapati bersalah, apakah Ong sahaja yang menerima akibatnya?
Rasuah seperti yang diketahui umum adalah jenayah paling hina yang melibatkan tidak sahaja penerima tetapi juga pemberi. Malangnya kita selalu ada anggapan bahawa penerima sahaja yang diberi gambaran negatif.
Sekiranya benar RM10 juta itu diberikan tanpa sebarang sebab, orang yang memberi itu telah terlibat dalam jenayah yang memalukan ini. Dia telah melakukan rasuah. Jadi, dalam kes ini bukan Ong sahaja yang patut dihukum. Tiong juga patut dihukum.
Juga dalam dunia orang kaya, duit boleh membuat duit. Apabila Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) membeli tanah seluas 405 hektar dari sebuah koperasi nelayan awal 90-an, harganya ialah RM65 juta.
Pada tahun 2002 tanah itu telah dijual kepada Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) untuk dijadikan tapak PKFZ. Harga yang dibayar oleh LPK ialah RM1.09 bilion, atau lebih 25 kali ganda dari harga asal yang dibeli oleh KDSB .
Bayangkan dalam masa beberapa tahun sahaja KDSB memperoleh untung beratus-ratus juta ringgit. Memanglah dalam logik berniaga, penjual perlu mendapat untung. Tetapi apabila keuntungan itu begitu besar ia boleh menimbulkan beberapa keraguan.
Apa yang lebih menjadi tanda tanya ialah setelah menjual tanah kepada LPK @ pemilik PKFZ, KDSB dipilih pula sebagai satu-satunya kontraktor untuk projek ‘turnkey’ tersebut. Apakah tidak ada pihak lain yang membida projek berkenaan? Atau, apakah memang sejak mula telah diputuskan KDSB sebagai paling layak?
Apa pun PKFZ kemudiannya meletup sebagai bom jangka, dengan semua serpihan bom terarah kepada berbagai-bagai penyelewengan yang maha dahsyat. Didedahkan dalam laporan bahawa projek yang anggaran asalnya berharga RM1.96 bilion itu melonjak kepada RM3.52 bilion berikutan perbelanjaan-perbelanjaan tambahan.
Apabila ditambah faedah atas kelewatan pembayaran kepada KDSB, harganya meningkat lagi menjadi RM4.95 juta. Mengejutkan lagi apabila Price-waterhouse Coopers kemudian memberitahu jumlah keseluruhan kos mungkin mencecah RM12.45 bilion!
Skandal ini mengaibkan. Ini adalah satu contoh klasik betapa wang pembayar cukai telah diseleweng semahu-mahunya, tanpa sedikit pun rasa bersalah. Tanpa sedikit pun rasa malu. Di mana nilai kita?
Tembelang telah pecah, bau busuknya sudah merebak ke merata pelosok. Rakyat, khasnya pembayar cukai, memang berhak untuk mengetahui siapa sebenarnya musibat di sebalik skandal mega ini. Jangan biarkan kesabaran rakyat hilang. Skandal PKFZ mesti disiasat hingga ke akar umbi, dan musibat-musibat itu – tidak kira siapa – mesti dihukum.
Harapan umum sekarang ialah kepada SPRM. Selama dua hari – Khamis dan Jumaat – keterangan Ong Tee Keat telah direkodkan, antaranya berhubung tuduhan KDSB mengenai sumbangan RM10 juta itu. Sebagai orang yang mendedahkan skandal PKFZ, menteri itu pasti akan memberikan kerjasama dalam siasatan.
Tetapi, sumbangan politik itu hanyalah sebahagian kecil dari penyelewengan berbilion-bilion ringgit yang menyelimuti PKFZ. Seluruh rakyat kini tertumpu kepada SPRM dan menunggu siapa lagi yang akan disiasat berhubung kes bom jangka ini.
Sebenarnya skandal raksasa seperti ini akan memberi peluang kepada agensi bebas itu untuk membuktikan kepada umum bahawa mereka betul-betul bertindak tegas, tanpa memilih bulu.
Sejak sekian lama SPRM, atau dahulunya Badan Pencegah Rasuah (BPR) dilihat oleh umum sebagai memihak kepada kerajaan, berat sebelah. Dari semasa ke semasa ada sahaja tuduhan bahawa suruhanjaya tersebut tidak telus dan lebih tertarik untuk menyiasat hanya di kalangan pembangkang.
Selalu ada tanggapan bahawa sekiranya yang dituduh itu adalah pembangkang, siasatan akan segera dilakukan. Contoh: Siasatan terhadap Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mengenai isu lembu korban, dilakukan dalam masa terdekat. Demikian juga halnya dengan siasatan ke atas tuduhan penyelewengan peruntukan ADUN Selangor dilakukan segera sehingga terjadi kematian misteri Teoh Beng Hock.
Memang kes 21 ekor lembu dan kes penyelewengan peruntukan ADUN RM100,000 tidak serumit dan sekompleks skandal RM12.45 bilion PKFZ. Tetapi, jangan pula kerumitan dan kompleks dijadikan alasan untuk SPRM melengah-lengahkan siasatan ke atas PKFZ. Kesabaran rakyat ada hadnya!
***Artikel ini dikutip daripada Sinar Harian